Tel: 06-9521360
High School Muar

Senario Olahraga Sekolah Tinggi Muar  1929-2008

 

Sekolah Tinggi Muar telah ditubuhkan pada tahun 1902. Walau bagaimanapun acara Kejohanan Olahraga Tahunan (Annual Athletic Sports) hanya bermula pada tahun 1929. 

 

 Perkembangan olahraga berjalan sehingga Perang Dunia Kedua. Pada zaman Jepun GES bertukar corak kepada sekolah Jepun. Selepas zaman Jepun, acara olahraga disambung kembali sehinggalah pada hari ini. Hampir setiap tahun acara kejohanan olahraga dijalankan. Menurut seorang bekas pelajar GES Tuan Haji Nordin Ahmad (Nuri Angkasa) yang menuntut di sekolah ini di antara  tahun 1947-1949 acara sukan tahunan di jalankan di dua lokasi iaitu di Padang Hoki sekarang dan pada ketika dulu ia dikenali sebagai “School Field” dan juga di “Rugger Field” (Padang Ragbi). Padang Hoki sekarang menjadi lokasi utama kejohanan sukan pada ketika itu. Pada tahun-tahun 60-an acara olahraga diadakan di Padang Ragbi. Pada tahun  16 Jun 1974 buat pertama kali Kejohanan Olahraga Tahunan diadakan di Stadium Muar. Kemudian mulai tahun 2006, acara sukan tahunan dijalankan di Padang Ragbi semula.

 

Sejak kejohanan pertama dahulu, rumah-rumah sukan dibahagikan kepada 5 buah rumah seperti hari ini iaitu Rumah Meryam(Mariam), Mejidi, Mohamediah, Petri dan Omri. Sebelum tahun 1965, setiap rumah sukan mempunyai dua warna iaitu warna biru dan merah untuk Rumah Mejidi, putih dan biru untuk Rumah Meryam, merah dan putih untuk Rumah Mohammediah, merah dan hitam untuk Rumah Omri, dan hitam dan putih untuk Rumah Petri.  Pertandingan sukan rumah secara individu diadakan sebelum Kejohanan Olahraga Tahunan dijalankan. Pertandingan sukan rumah secara individu diadakan pada penggal kedua persekolahan lazimnya di antara bulan Jun hingga awal Julai. Kejohanan Olahraga Tahunan  pula di adakan lazimnya pada bulan Julai selepas semua rumah mengadakan acara sukan rumah masing-masing. Selepas tahun 1965, warna rumah sukan ditetapkan kepada satu warna sahaja seperti yang ada sekarang.

 

Setiap rumah sukan mempunyai motto tersendiri. Rumah Mejidi mempunyai motto “Perserverance Keeps Honour Bright”, Rumah Meryam berpegang kepada motto “Our Honour Our Treasure”, Rumah Mohammediah menjulang motto “Ready Aye Ready”, Rumah Omri mengemukakan motto “Never Say Die”, dan Rumah Petri pula bangga dengan motto “Persevere and Never Fear”. Mulai tahun 1978, motto setiap rumah sukan ditukar kepada bahasa Melayu iaitu, Rumah Omri “Tidak Pernah Putus Asa”, Rumah Mohammadiah “Sentiasa Bersedia”, Rumah Petri “Keyakinan Kami Keteguhan Bersama”, Rumah Meriam “Kehormatan Adalah Penghargaan Kami” dan Rumah Mejidi “Berusaha Tetap Gemilang”.

 

Sehingga tahun-tahun 1950-an, para peserta sukan dibahagikan kepada 3 kategori berdasarkan ketinggian fizikal pelajar berkenaan iaitu ketinggian melebihi  5 kaki 2 inci untuk “Division A”, “Division B” untuk pelajar berukuran di antara 4 kaki 8 inci hingga 5 kaki 2 inci dan “Division C” untuk pelajar dengan ukuran tinggi di bawah 4 kaki 8 inci.  Pelajar “Division A dan B” juga terlibat dalam permainan Bola Sepak, Ragbi, Hoki, Bola Jaring, Badminton, Bola Tampar. Pelajar “Division C” pula terlibat dalam aktiviti  Bola Sepak dan Badminton. Aktiviti Latihan Sukan dan Kejohanan Sukan Tahunan dijalankan pada Penggal Kedua persekolahan. Acara-acara sukan yang di jalankan dalam Kejohanan Sukan Tahunan ialah lari 50 ela, 75 ela, 100 ela Bahagian A, B dan C, Lari Lompat Pagar 120 ela Bahagian A, 440 ela Bahagian A dan B, 880 ela Bahagian A, 220 ela Bahagian B dan C, Lari Berganti-ganti Bahagian A, B, C dan D, Lari 1 batu, Tarik Tali, Lompat Kijang Bahagian A, Lompat Tinggi Bahagian A, Lompat Jauh, Lontar Peluru Bahagian A.

 

Larian Marathon pula diperkenalkan pada tahun 1955 sejauh kira-kira 3 batu untuk merebut Piala Azman. Piala Azman disumbangkan oleh balu Allahyarham Che Azman bin Haji Abdul Hamid. Che Azman merupakan bekas pelajar Sekolah Tinggi Muar. Larian Marathon melalui Jalan Mejidi, Jalan Sulaiman, Jalan Sultan Ibrahim, Jalan Abdul Rahman dan kembali semula ke Sekolah Tinggi Muar. Pada tahun 23 April 1970 acara tersebut diperkenalkan semula dengan  nama “Road Race” atau “Lumba Jalan Raya”. Pada tahun itu Rumah Omri telah menjadi Johan untuk acara tersebut. Nama ini kekal sehingga hari ini. Pada tahun 1984 kejohanan olahraga tahunan tidak dapat dijalankan sebaliknya hanya sukan mini untuk memilih atlit sekolah ke pertandingan MSSD telah diadakan pada 11.3.1984.

 

Di antara tahun 1969 hingga tahun 2006, rumah Majidi mengungguli kejohanan olahraga sepanjang tempoh tersebut dengan memenangi sebanyak 12 kali, diikuti oleh rumah Mohammediah dan Petri sebanyak 8 kali, rumah Petri 4 kali dan Meriam 4 kali.